Saturday, October 22, 2011

Bintangku

Bintangku
Kau bersinar
Di jagat raya
Penyeri dikala kelam
Memagari cahaya bulan

Bintangku
Mungkin cahayamu
Tidak segemerlap purnama
Namun sinarmu
Jadi panduan kiblatku

Bintangku
Kerdipmu umpama mata
Terus memandang dunia
Dalam susah dalam payah
Terus tabah menyinari
Duniaku yang kegelapan

Bintangku
Jangan kau hilang
Dikala amaia
Jangan pula kau
Berputus asa
Pada lelahnya malam dunia

Wednesday, October 12, 2011

Doa Solat Istikharah

Aishah r.a menyebut, Rasulullah s.a.w mengajar doa istikharah sepertimana Baginda mengajar surah.

Ya Allah
Aku beristikharah
Dengan ilmuMu
Memohon kudratMu
Engkau mengetahui
Aku tidak mengetahui
Engkau mengetahui segala yang ghaib

Ya Allah
Jika pada pengetahuanMu
Perkara yang akan aku buat ini
Baik untukku
Agamaku
Kehidupanku
Dan kesudahan urusanku
Takdirkanlah ia untukku
Mudahkanlah ia padaku
Dan berkatkanlah

Dan jika ia tidak baik untuk
Agamaku
Kehidupanku
Dan kesudahan urusanku
Palingkan ia dariku
Palingkan aku daripadanya

Dan datangkanlah kebaikan
Dari mana saja ia berada
Dan berkatilah aku

Monday, September 26, 2011

Kanak-kanak Perempuan

Kanak-kanak perempuan
Senyumanmu bak mekarnya bunga
Seolah tiada bahasa duka
Yang menghiasi kamar minda
Riak suci pada wajahnya
Diamlah dalam dakapan bonda

Kanak-kanak perempuan
Dikaulah permata ayah dan bonda
Menambah seri persis purnama
Membalik cahaya dilaut gelora
Penenang jiwa yang lara berduka

Kanak-kanak perempuan
Moga gemerlapmu tiada pudarnya
Seutuh waja pada agama
Selembut sutera didalam keluarga
Ku pohon pada Yang Khalik akan rahmatNya
Moga dikau menjadi kekasihNya

Kanak-kanak perempuan
Dengarlah pesan ibu dan bapa
Al-Quran dan Sunnah jangan dilupa
Tetapkanlah Rasul dilubuk jiwa
Peganglah agama dengan seeratnya
Sehingga kamu pulang padaNya

Kanak-kanak perempuan
Tiada bait tiada kata
Untuk ku ucap sebagai bicara
Hanya mampu kutitipkan sebingkis doa
Moga rahmatNya terus bersama
Buatmu yang indah bak Thulip dan purnama

Tuesday, September 13, 2011

Dihujung Garisan Itu

Dihujung garisan itu
Terdiam aku termanggu
Merintih didalam sendu
Mengharap sedikit belasMu

Dihujung garisan itu
Terdengar alunan kitab berlagu
Mungkin dari seorang Ibu
Atau dari para tamu
Yang hadir diruang waktu

Dihujung garisan itu
Tiada guna harta beribu
Yang ku kejar masa hidupku
Melainkan Kasih sayangMu
Dan keredhaanMu

Dihujung garisan itu
Aku pasrah padaMu
Kerana aku adalah hambaMu

Saturday, September 10, 2011

Warna Warna Dunia

Warna dunia yang pelbagai
Mencipta satu keindahan
Dan kita tenggelam dalam kenikmatan
Kesempurnaan ciptaan
Yang Maha Kuasa

Warna dunia yang pelbagai
Penuh dengan warna kegirangan
Juga kebahagiaan
Namun juga warna penderitaan

Hitam putih dan kelabu
suatu warna kehidupan
bagi sisi yang gelap

Merah biru hijau kuning
Lambang penantian
Dari sisi yang derita

Warna dunia yang pelbagai
Terpulang kita memandang
sudut mana ia mendatang

Tuesday, June 28, 2011

Senyum Dan Tangis Bidadari

Senyumlah
Wahai bidadari
Kerna wajahmu
Terlalu indah
Untuk kesan setitis airmata

Senyumlah
Wahai bidadari
Kerna seulas senyummu
Membahagiakan ku

Menangislah
Wahai bidadari
Kerna ingatan
Pada kealpaan
Kepada Penciptamu

Menangislah
Wahai bidadari
Kerna takut
Pada azab
Tuan Empunya Alam

Senyumlah
Wahai bidadari
Kerna kamu cukup indah

Menangislah
Wahai bidadari
Kerna kamu sekadar hamba-Nya.

Wednesday, June 22, 2011

Sutera Itu

Sutera itu
Halus dipegang
Haram disarung
Untukku

Sutera itu
Cantik dipandang
Indah ditatap
Namun nilainya
Tak mampu ku gapai

Sutera itu
Ingin hati memiliki
Segenap usaha
Sedaya kudrat
Sehabis fikiran

Kepada Yang Khalik
Aku memohon
Kepada Yang Agung
Aku menadah
Kepada Yang Punya Alam
Aku bersujud
Kepada Ya Rahman Ya Rahim
Aku berserah

Moga sutera itu
Indah selalu
Moga sutera itu
Lembut melambai
Moga sutera itu
Disampingku.