Monday, September 6, 2010

Salji Putih

Bermusim masa yang terbuang
Tercicir di simpang jalan
Diajak damai jalan seiring
Biar selamanya

Biar dalam lautan kasih
Ku selam kedasar ini
Banyak lagi perlu dilihat
Dimanakah kita

Salji putih
Yang menyelubung
Dingin kurasakan
sepertimana malam
Dan ada sinar
Bulan terang

Api yang membakar
Disirami peluh percintaan
Dan bara yang tertinggal itu
Sudah biasa

Pada keratan malam
Ingin kuceritakan
Kedamaian dunia yang
Amat tenang

Pada ringkasan malam
Kita terjatuh dilubuk
Yang penuh dengan lumpur
Kejahilan

Pada setiap malam
Ku rindu untuk bersama
Menikmati kenanganmu

Seorang Aku

Aku bersyukur
Apa adanya aku
Syukurku hanya untukMU
Yang Maha Satu

Yang kelam itu jiwaku
Disirami salju kasehMU
Aku tunduk membisu
Membatu
Ampuni segala dosa-dosaku

Jiwa yang kontang itu
Milik seorang aku
Jauh dari chentaMU
Pohon disuburkan pintaku
Dengan Chenta dan KasehMU
Yang tiada sempadan waktu

Seorang itu aku
Sujud itu tetap milikMU

Friday, August 27, 2010

Pemilik Kotak Hati

Di satu sudut
Aku melintas
Terpuruk kotak hatimu
Sepi Kelam Berdebu

Kaki mendekat
Mata terpaku
Hati terpaut
Bibir membisu

Aku termenung
Jiwa meronta
Ingin kugapai
Namun tangan membatu
Akal berputar
Mungkin kotak itu
Milik insan yang tak ku tahu

Angin yang bertiup
Masa seolah terpadam
Dan aku terus menunggu
Ketibaan pemilik
Kotak hatimu

Dan kalau kotak itu
Tiada pemiliknya
Bolehkah aku menjadi
Pemilik kotak hatimu???

Tuesday, June 29, 2010

Erti Kehidupan

Tiada lagu
Tiada kata
Tiada bait
Tiada coretan
Tiada lukisan
Seindah Ciptaan
Yang Punya Alam

Berbicara bahasa duka
Bertutur kata kegirangan
Bersuara tentang perasaan

Nadi yang terikat
Jantung yang berdetak
Hati yang berdenting
Segala itu sekadar
Pinjaman

Friday, March 19, 2010

Bintang Itu

Langit yang gelap
Bintang yang terang
Aurora yang memancar
Disebalik itu
Terhijab jutaan rahsia

Cahaya yang gemerlap
Bagai gemerlap permata
Disangka berlian
Tapi mungkin sekadar kaca

Bintang itu
Mungkin itu yang kau puja
Mungkin juga
Itulah yang menipu

Bintang itu
Yang kau anggap
Menyinari malam mu
Tapi mungkin juga
Yang mampu membakar mu

Kekhilafan

Jauh aku berjalan
Penat berdiri berjalan dan berlari
Diatas pentas kehidupan
Yang sebenarnya
Tak punya apa-apa

Jauh fikiranku menerawang
Mencari satu titik permulaan dan pengakhiran
Berpandukan kitab dunia
Yang diciptakan insan
Yang tidak sempurna
Dan tidak pernah kekal

Sesungguhnya aku telah termasuk
Dalam golongan orang-orang yang rugi
Yang lupa berpesan khabar
Tentang satu yang kekal
Dan sempurna

Kembalilah pada fitrah
Dengan kalimah-kalimah suci
Yang telah diturunkan
Oleh Yang Maha Pemurah
Lagi Maha Mengasihani

Sesungguhnya pada Al-Quran
Terdapat jalan yang lebih lurus

Friday, January 29, 2010

Tangis Malaikat

Sebatang pena biru
Menari dihadapanku
Meloret melakar satu persatu
Cerita langit yang pilu

Menangis malaikat memandang duniaku
Huru hara ciptaan manusia yang dungu
Yang lupa Al-Quran itu sumber ilmu
Yang Muhammad S.A.W itu
Pesuruh Yang Satu

Berserban berjubah
Berkata dengan hujah
Konon dari hadis dan sunnah
Namun terikat dengan politik pemerintah
Mengajar syahadah perlukan tauliah

Menangis lagi sang malaikat
Melihat otak manusia makin terbejat
Mana satu agama mana satu adat
Dicampur ditolak yang mana tersukat
Manusia lupa yang mana hakikat

Pulanglah malaikat ke arasy yang tinggi
Dengan kecewa membengkak dihati
Dengan harapan Allah mengampuni
Manusia-manusia perosak bumi.

Thursday, January 28, 2010

Assalamualaikum...

Assalamualaikum...
Salamku untuk yang alim ulama
cendiakawan agama yang dikata bijaksana
Mengarang hukum dengan sebatang pena
Tak boleh disanggah apa yang dikata
Kerana dia manusia yang memegang agama.

Assalamualaikum...
Salamku untuk para pemimpin
Yang petah lidahnya tika berkempen
Menabur janji pada yang kaya dan miskin
Tapi hilang bila kerusi sudah tertawan
Oh aku lupa dia ramai rakan dan taulan
Hingga lupa pengundi bawahan.

Assalamualaikum...
Salamku untuk para pegawai
Yang segak berkasut kulit di kaki
Jalannya mendada tak pandang ke tepi
Kehulu kehilir kesana kesini
Duit bawah meja bagi anak bini
Oh aku lupa lagi
Dia pegawai berjawatan tinggi.

Assalamualaikum...
Salamku untuk pemuda pemudi
Yang diharap jadi satria dan serikandi
Namun tunduk kepalanya tangan digari
Satria menjadi doktor diri sendiri
Serikandi terlupa anak dalam baldi
Aku lupa lagi
Mereka anak zaman terkini

Assalamualaikum...
salamku untuk diri sendiri
Yang selalu lupa dengan rahmat yang diberi
Hanya tahu meminta lokek memberi
Dengan bahasa mencaci yang sungguh berbudi
Oh aku lupa lagi
Aku manusia yang selalu lupa diri.

DiSini Kita Berdiri

Disini kita berdiri
Berpaksikan kalimah
Berpasakkan akidah
Pada satu daerah
Yang Maha Disembah.

Saat kita terluka
Tika kita gembira
Dia sentiasa bersama
Kerana kita hamba-Nya

Syahadah di kolam hati
Solat tulang berdiri
Puasa santapan nurani
Haji iktikad diri
Zakat penerang hati

Hidup bukan abadi
Namun mati adalah pasti
Moga diri dirahmati
Menuju syurga yang dijanji.

Ada Aku Peduli???

Aku ditendang
Aku ditampar
Perit jerih
Yang bernanah
Yang berkudis
Ada mereka peduli??

Aku menangis
Aku menjerit
Dengan suara yang tersisa
Bagai orang gila
Bagai manusia yang kurang akal
Ada mereka peduli???

Aku lapar
Aku dahaga
Merangkak meniarap
Mencari sebutir zarah
Untuk ku telan
Ada mereka peduli???

Aku tertawa
Aku tersengih
Pada satu yang tidak mencuit hati
Ada mereka peduli???

Jadi untuk apa aku peduli
Pada mereka yang tidak peduli!!!