Friday, January 29, 2010

Tangis Malaikat

Sebatang pena biru
Menari dihadapanku
Meloret melakar satu persatu
Cerita langit yang pilu

Menangis malaikat memandang duniaku
Huru hara ciptaan manusia yang dungu
Yang lupa Al-Quran itu sumber ilmu
Yang Muhammad S.A.W itu
Pesuruh Yang Satu

Berserban berjubah
Berkata dengan hujah
Konon dari hadis dan sunnah
Namun terikat dengan politik pemerintah
Mengajar syahadah perlukan tauliah

Menangis lagi sang malaikat
Melihat otak manusia makin terbejat
Mana satu agama mana satu adat
Dicampur ditolak yang mana tersukat
Manusia lupa yang mana hakikat

Pulanglah malaikat ke arasy yang tinggi
Dengan kecewa membengkak dihati
Dengan harapan Allah mengampuni
Manusia-manusia perosak bumi.

Thursday, January 28, 2010

Assalamualaikum...

Assalamualaikum...
Salamku untuk yang alim ulama
cendiakawan agama yang dikata bijaksana
Mengarang hukum dengan sebatang pena
Tak boleh disanggah apa yang dikata
Kerana dia manusia yang memegang agama.

Assalamualaikum...
Salamku untuk para pemimpin
Yang petah lidahnya tika berkempen
Menabur janji pada yang kaya dan miskin
Tapi hilang bila kerusi sudah tertawan
Oh aku lupa dia ramai rakan dan taulan
Hingga lupa pengundi bawahan.

Assalamualaikum...
Salamku untuk para pegawai
Yang segak berkasut kulit di kaki
Jalannya mendada tak pandang ke tepi
Kehulu kehilir kesana kesini
Duit bawah meja bagi anak bini
Oh aku lupa lagi
Dia pegawai berjawatan tinggi.

Assalamualaikum...
Salamku untuk pemuda pemudi
Yang diharap jadi satria dan serikandi
Namun tunduk kepalanya tangan digari
Satria menjadi doktor diri sendiri
Serikandi terlupa anak dalam baldi
Aku lupa lagi
Mereka anak zaman terkini

Assalamualaikum...
salamku untuk diri sendiri
Yang selalu lupa dengan rahmat yang diberi
Hanya tahu meminta lokek memberi
Dengan bahasa mencaci yang sungguh berbudi
Oh aku lupa lagi
Aku manusia yang selalu lupa diri.

DiSini Kita Berdiri

Disini kita berdiri
Berpaksikan kalimah
Berpasakkan akidah
Pada satu daerah
Yang Maha Disembah.

Saat kita terluka
Tika kita gembira
Dia sentiasa bersama
Kerana kita hamba-Nya

Syahadah di kolam hati
Solat tulang berdiri
Puasa santapan nurani
Haji iktikad diri
Zakat penerang hati

Hidup bukan abadi
Namun mati adalah pasti
Moga diri dirahmati
Menuju syurga yang dijanji.

Ada Aku Peduli???

Aku ditendang
Aku ditampar
Perit jerih
Yang bernanah
Yang berkudis
Ada mereka peduli??

Aku menangis
Aku menjerit
Dengan suara yang tersisa
Bagai orang gila
Bagai manusia yang kurang akal
Ada mereka peduli???

Aku lapar
Aku dahaga
Merangkak meniarap
Mencari sebutir zarah
Untuk ku telan
Ada mereka peduli???

Aku tertawa
Aku tersengih
Pada satu yang tidak mencuit hati
Ada mereka peduli???

Jadi untuk apa aku peduli
Pada mereka yang tidak peduli!!!