Thursday, January 28, 2010

Assalamualaikum...

Assalamualaikum...
Salamku untuk yang alim ulama
cendiakawan agama yang dikata bijaksana
Mengarang hukum dengan sebatang pena
Tak boleh disanggah apa yang dikata
Kerana dia manusia yang memegang agama.

Assalamualaikum...
Salamku untuk para pemimpin
Yang petah lidahnya tika berkempen
Menabur janji pada yang kaya dan miskin
Tapi hilang bila kerusi sudah tertawan
Oh aku lupa dia ramai rakan dan taulan
Hingga lupa pengundi bawahan.

Assalamualaikum...
Salamku untuk para pegawai
Yang segak berkasut kulit di kaki
Jalannya mendada tak pandang ke tepi
Kehulu kehilir kesana kesini
Duit bawah meja bagi anak bini
Oh aku lupa lagi
Dia pegawai berjawatan tinggi.

Assalamualaikum...
Salamku untuk pemuda pemudi
Yang diharap jadi satria dan serikandi
Namun tunduk kepalanya tangan digari
Satria menjadi doktor diri sendiri
Serikandi terlupa anak dalam baldi
Aku lupa lagi
Mereka anak zaman terkini

Assalamualaikum...
salamku untuk diri sendiri
Yang selalu lupa dengan rahmat yang diberi
Hanya tahu meminta lokek memberi
Dengan bahasa mencaci yang sungguh berbudi
Oh aku lupa lagi
Aku manusia yang selalu lupa diri.

No comments:

Post a Comment